CARA & ADAB MENGHADAPI PELAJARAN
Wahai anakku:
Pertama hendaklah kamu ikhlas dan minat kepada semua matapelajaran kamu. Jangan sekali-kali kamu membuat pilih kasih kepada matapelajaran tertentu sahaja. Elakkan dari membaca berseorangan. Carilah kawan membaca dan bersoal-jawab. Cara ini akan menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan kefahaman kamu, kamu hendaklah memilih kawan yang benar-benar pintar, sabar, tekun, dan rajin belajar.
Apabila kamu berasa sangsi kefahaman kamu tentang sesuatu ilmu itu, bentangkan masalah itu kepada kawan, mungkin dia mempunyai kefahaman yang lebih baik dari kefahaman kamu, kerana mengulangi pelajaran yang telah kita faham adalah lebih baik kerana dapat menguatkan lagi ingatan dan penguasaan ilmu. Hendaklah kamu menunjukkan akhlak yang baik kepada kawan-kawan dan bacalah doa yang Allah s.w.t. ajarkan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Allah mengangkat martabat orang-orang yang beriman dan mereka yang berilmu pengetahuan kepada beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah : Ayat 11)
Kalaulah kamu dapat faham lebih dahulu dari kawan-kawan kamu, janganlah kamu berasa megah dan sombong. Bila kamu dikehendaki menerangkan pelajaran yang telah kamu faham, janganlah sekali-kali kamu bakhil dengan dan kefahaman kamu. Hendaklah kamu jauhkan pertikaian dengan perkara tidak benar. Jauhkan dari membawa dalil-dalil yang tidak benar bagi memperoleh kemenangan di dalam sesuatu perdebatan ilmu pengetahuan, kerana ilmu pengetahuan adalah satu amanah Allah. Sesiapa yang menang berdebat dengan dalil-dalil yang salah, sesungguhnya ia menipu dirinya dan menipu Allah.
Wahai anakku:
Banyakkanlah membaca, banyakkanlah menghafal, kerana dengan banyak membaca akan mendapat banyak ilmu pengetahuan, sudah tentu akan luas pandangan dan kemahiran. Ingatlah tanpa membaca, akan hilang banyak pengetahuan. Ingatlah musuh ketat ilmu pengetahuan iaitu sifat lupa dan takbur. Ingatlah, kamu akan memasuki banyak peperiksaan, peperiksaan akan menentukan siapa kamu sebenar. Oleh itu, kuatkanlah fahaman bukan hafalan semata-mata. Jangan menghafal perkataan tanpa memahami maknanya. Ilmu yang sebenar ialah apa yang kamu fahami bukanlah apa yang kamu hafali.
Wahai anakku:
Kalaulah kamu berbahas atau berdebat bersama-sama kawan maka janganlah mengeluarkan hujuah-hujah melainkan hujah-hujah yang tepat dan bernas. Janganlah kamu angkuh di dalam mengeluarkan kata-kata dan hujah -hujah. Janganlah kamu mengeluarkan kata-kata yang kesat dan mencerca, bila mereka tersalah hujah, berdebatlah dengan hati yang tenang, dengan cara-cara yang ilmiah, ini akan memberi faedah kepada kedua belah pihak. Cara-cara yang baik bercakap dan berhujah ialah dengan tidak mencelah cakap-cakap kawan kamu, sebelum habis bercakap dan janganlah kamu gopoh semasa menjawab. Jawapan kamu hendaklah tepat dengan tajuk perbahasan.
Wahai anakku:
Bahawa perbahasan, seminar, forum di antara pelajar-pelajar mengenai tajuk-tajuk yang ilmiah amatlah besar faedahnya. Ingatlah di dalam menyebarkan ilmu pengetahuan hendaklah kamu berkata benar walaupun pahit, jangan sekali-kali kamu cuba berlindung di dalam kebenaran. Katakanlah benar, walau di hadapan pemerintah yang zalim sekali pun. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik jihad ialah berkata benar di hadapan raja yang zalim."

